Search

Monday, 12 September 2016

Ayahku Cikgu Mukhtar


Selamat hari lahir ayah. Semoga ayah dirahmati olehNya dunia dan akhirat. Dipermudahkan segala urusan dan semoga bahagia sentiasa bersama keluarga. Tiada kata mampu diungkap untuk menggambarkan betapa bersyukurnya mempunyai ayah sepertinya. Sentiasa sayang dan sentiasa rindu. Sentiasa hormat. Kasih sayang ayah yang tidak pernah berbelah bagi pada anak-anaknya. Semua sama rata. Tidak pernah dibezakan sayangnya. Ada yang salah ditegur. Ada yang tidak kena diperbetulkan.

Ayah merupakan seorang yang garang dan tegas. Tapi garang dan tegasnya ada tempatnya. Kami anak-anaknya selalu dijentik telinga jika berbuat kesalahan. Sakit. Jika kesalahan yang besar akan dirotan. Pernah adik-adik lelakiku dipukul dengan paip getah. Sebabnya aku tak ingat. Itulah nakal sangat memang mendapatlah. Hahaha.πŸ˜…

Biasanya pada waktu-waktu lain ayah suka bercerita. Aku masih teringat cerita 'Awang Kenit'. Cerita kegemaranku. Ayah akan tanya "siapa nak dengar cerita ayah?". Nak dengar cerita ni bersyarat. Syaratnya mestilah menggaru belakang badannya. Anak-anak yang bersetuju akan menggaru belakang badannya sambil mendengar cerita daripada ayah. Sebenarnya sampai sekarang aku tak tahu penamat cerita Awang Kenit tu. Kenapa? Sebabnya dalam cerita tu, Awang Kenit tu akan berjumpa dengan semut. Dibilangnya semut lepas seekor, seekor. Berulang- ulang ayat itu disebut. Aku pasti akan tanya lepas tu ayah? Ayah aku akan cakap tunggu dulu, semut ni banyak, ayah kena sebut satu-satu. Haih..apakah? πŸ˜…Dan of course kami berasa tidak adil dan akan berhenti daripada menggaru belakang badannya. πŸ˜†

Ayah juga gemar memberi teka-teki. Dan jangan hairan kalau jawapan kita tidak tepat walaupun teka-teki itu pernah ditanya olehnya. Akan ada saja jawapannya ditokok tambah. Contohnya " apakah benda paling kecil di dunia?" Aku jawab "kuman". Ayah akan cakap salah. Nak tau apa jawapannya? "Anak kuman adalah benda paling kecil di dunia." πŸ˜… Selepas itu pada waktu lainnya soalan yang sama ditanya. Dan mestilah aku jawab "Anak kuman." Dan ayah aku akan cakap salah. Cuba teka apa jawapannya. Jawapannya adalah "Anak kuman yang tak cukup bulan." πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚ Ayah oh ayah. Itulah ayah. Dan aku tetap sayang dia.

Jika bercerita tentang ayah, banyak perkara kelakar dan manis yang aku ingat. Ayah sentiasa mendorong anak-anaknya untuk membuat apa jua yang baik dan selagi tidak bertentangan dengan Allah. Masa zaman persekolahan dan universiti, keputusan peperiksaanku tidaklah memberangsangkan. Selalu juga mendapat nombor yang tercorot di dalam kelas. Tapi mak dan ayah akan selalu memberi kata-kata perangsang buat aku.


Bila mak dan ayah makin berusia, makin aku sedar banyaknya pengorbanan mereka. Jika aku balik ke kampung ayah pernah juga menyuruh aku menggaru belakang badannya. Sedihnya, badannya penuh dengan parut-parut bekas gigitan nyamuk. Dulu, selepas waktu kerja di sekolah, ayah akan terus ke kebunnya. Ayah akan pulang lewat malam. Bermaghrib dan isyak di dalam hutan. Ayah ada usahakan kebun durian, kelapa, rambutan seorang diri. Tengah malam baru pulang ke rumah. Waktu mengusahakan tanamannya, ayah jarang sangat pakai baju. Rimas mungkin. Sebab tu ayah banyak sangat kena gigit nyamuk. Parut-parut tu bekas kami garu masa kami kecil dulu. Kadang-kadang ayah minta kami garu sampai luka-luka. Ayah oh ayah. Banyaknya pengorbananmu. Ayah ramai anak perempuan, kudrat kami anak perempuan tidak sekuat mana. Anak lelaki masa dulu masih kecil lagi. Kami sekeluarga akan ke kebun di hujung minggu sahaja. Itupun hanya mampu tolong sikit-sikit. Kasihan ayah. Ya Allah, kurniakanlah syurga firdaus buat ibu dan ayahku, Ya Allah. Bukan senang hendak membesarkan 9 orang anak. Banyak keringat dan titik peluh serta kudrat yang diperlukan. Ya Allah, memikirkan hidup tanpa mereka sudah membuatkan air mataku berjuraian, tidak mampu untuk menyambung entry ini lagi.

Ahh..rindu. Terlalu rindu.

Selamat Hari Raya Aidiladha. Maafkan anakandamu ini tidak dapat pulang..



No comments:

Post a Comment